Blog

Check out market updates

panduan sewa rumah dekat usim nilai

Panduan Sewa Rumah Dekat USIM Nilai : Tips A-Z

Bagi pelajar atau ibubapa yang mencari rumah sewa berhampiran Universiti Sains Islam Malaysia USIM Nilai.

Di sini saya sertakan panduan penting untuk sewa rumah. Panduan ini sebenarnya terpakai untuk mana-mana rumah di tempat lain.

Memandangkan saya adalah Alumni USIM dan juga merupakan Ejen Hartanah Nilai ini adalah usaha saya  untuk bantu junior-junior agar tidak ditipu atau tersilap langkah semasa mendapatkan rumah sewa..

Selain daripada panduan sewa rumah dekat USIM Nilai, saya juga sertakan senarai rumah untuk disewa sebagai rujukan pelajar dan ibubapa.

Sebelum ini saya sudah siapkan satu artikel Tips dan Panduan Sewa Rumah boleh juga dijadikan bacaan tambahan.

Tips dan Panduan Sewa Rumah Dekat USIM Nilai

USIM adalah salah satu IPTA dan sudah tentu bilangan pelajar agak ramai berbanding IPTS lain di Nilai. Permintaan rumah sewa agak tinggi pada satu-satu masa. Sehinggakan agak sukar untuk mendapatkan rumah sewa yang berhampiran USIM.

Maksud dekat USIM ialah yang boleh berjalan kaki ke USIM (walaupun dah berpeluh). 

Dalam kekalutan mencari rumah sewa ada beberapa tips dan panduan yang perlu pelajar fahami dan tidak menjadi salah faham antara pelajar dengan pemilik rumah serta ejen hartanah yang uruskan sewaan rumah.

1. Berapa Lama Tempoh Sewaan?

Sewaan rumah kebiasaanya dikira dalam tempoh tahun. Iaitu 1 tahun, 2 tahun, 3 tahun atau 4 tahun.

Kebiasaannya pemilik rumah akan berikan tempoh sekurang-kurangnya 1 tahun dan maksimum 2 tahun. Amat jarang untuk 3 tahun.

Dan sukar untuk pemilik rumah benarkan tempoh sewaan kurang dari 1 tahun atau tidak genap tahun. contohnya 7 bulan, 1 tahun 3 bulan dsb. 

Cara kira tempoh. Katakan sewa bermula Jan 2020 iaitu selama 2 tahun. Tempoh sewaan ialah 1 Jan 2020 sehingga 31 Disember 2022

2. Apa Akan Berlaku Sekiranya Kami Keluar Sebelum Kontrak Tamat?

Bila dinyatakan tempoh dalam kontrak. Ia mesti dipatuhi. Ia bagi menjamin hak penyewa dan pemilik rumah.

Sekiranya penyewa keluar dari rumah sebelum kontrak tamat. Berdasarkan undang-undang, deposit tidak dikembalikan. ia burn hangus. 

3. Tak Faham La Pasal Deposit 2+1. Deposit Utiliti Tu Apa Pula?

Yang ini ramai yang tanya, apa tu 2+1? Ingatkan sifir. 

Deposit ada 2 jenis, iaitu Deposit Sekuriti dan Deposit Utiliti. Deposit Sekuriti adalah satu wang cagaran yang dibayar kepada pemilik untuk menjamin kelangsungan bayaran sewaan rumah daripada tertunggak. 

Makna kata, deposit sekuriti itu bertujuan untuk backup owner rumah, in case penyewa tak bayar sewa (bagi kes penyewa yang culas bayar)

Manakala Deposit Utiliti pula wang cagaran untuk menjamin bayaran bil utiliti daripada tertunggak iaitu seperti bil elektrik, bil air, indah water.

Apa maksud 2+1 atau 1+1 atau 3+1?

Sebelum penyewa masuk ke rumah. Ada beberapa bayaran yang perlu dibuat iaitu

  1. Deposit sekuriti
  2. Deposit utiliti
  3. Sewa bulan pertama (advance rental)
  4. Caj perjanjiaan sewaan dan duti setem. Anggaran RM 150- RM 250

2+1 : itu bermaksud 2 bulan deposit sekuriti dan 1 bulan sewa bulan pertama

1+1 : itu bermaksud 1 bulan deposit sekuriti dan 1 bulan sewa bulan pertama

3+1 : itu pula bermaksud 3 bulan deposit sekuriti dan 1 bulan sewa bulan pertama

Kenapa tak sama? Terpulang kepada pemilik. Mungkin disebabkan ada banyak barang yang pemilik perlu jamin seperti perabot diberikan untuk sewaan rumah, deposit yang tinggi untuk cover jika ada kerosakan,

4. Sekiranya Saya Bayar Deposit 2 Bulan, So Bulan Pertama dan Kedua Tak Perlu Bayar Kan?

Ini antara salah faham yang banyak berlaku dalam kalangan pelajar. Dah bayar deposit kira dah cover untuk sewa 2 bulan. 

Seperti yang saya jelaskan tadi. Deposit itu wang cagaran, sewa adalah wang bayaran bulanan sebab menduduki rumah. Berbeza. 

Penyewa tetap kena bayar sewa bulanan. Bayaran deposit yang telah dibuat itu sebagai cagaran dan akan dapat semula di akhir kontrak.

Lepastu bila deposit akan dipulangkan? Deposit sekuriti dan utiliti akan dipulangkan sekiranya

  1. tiada tunggakan sewa
  2. tiada kerosakan
  3. tiada tunggakan bayaran bil air, elektrik dan sebagainya

Deposit owner akan pegang dan akan dikembali semula selepas tempoh sewaan tamat.

5. Semasa Cuti Semester 3 Bulan Kena Bayar Ke Sewa?

Sewa adalah perjanjian antara penyewa dan pemilik. Cuti atau belajar tetap kena bayar sewa. 

Pemilik tetap kena bayar pinjaman bank walaupun penyewa tiada rumah kosong, penyewa cuti semester dan sebagainya.

Bayaran sewa tetap berjalan sehingga kontrak tamat

6. Saya Tengok Iklan Sewa RM 1300. Ini Termasuk Bil Air dan Elektrik Ke?

Bila dinyatakan sewaan RM 1300 ia bermaksud untuk bayaran sewa sahaja. Bil air dan elektrik dibayar sendiri oleh penyewa. Ia kegunaan peribadi penyewa dan kadarnya bergantung kepada penggunaan air dan elektrik. 

Sekiranya rumah apartment/kondo/flat yang ada yuran penyelenggaraan ‘maintenance’, bayaran maintenance perlu anda dapatkan penjelasan sama ada dibayar asing oleh penyewa atau termasuk dalam bayaran sewa bulanan.

Sama juga dengan yuran keselamatan ‘guard’ dan indah water. Pun perlu dapatkan penjelasan dari pemilik rumah atau ejen hartanah yang urus.

Perkara ini perlu dimasukkan dalam perjanjian sewaan.  

7. Jangan Booking Rumah Selagi Tak View Rumah dan Belum Dapat Persetujuan Ahli Rumah

Bila booking rumah. Kita dianggap sudah komited untuk sewa di rumah tersebut. Sebab itu duit booking dipanggil sebagai earnest deposit. 

Penyewa mesti view rumah dahulu sebelum bayar booking. Untuk pastikan rumah tersebut dalam keadaan yang baik dan penyewa sanggup terima keadaan rumah. 

Sekiranya tak sempat datang view sebab masih di kampung, sekurang-kurang hantar wakil ahli rumah atau saudara untuk view rumah. 

Sekiranya susah sangat. Cara terakhir adalah dengan minta property agent atau pemilik menghantar gambar atau video rumah yang terkini.

Semua ahli rumah mesti bersetuju dahulu sebelum wakil bayar booking. Sebab masing-masing akan kongsi bayar sewa, kongsi bayar bill, kongsi bayar deposit. So, mesti semua setuju baru proceed untuk booking. 

Lagi bagus, buat siap-siap group whatsapp untuk yang duduk 1 rumah.
Senang.

8. Periksa Keadaan Rumah Semasa View

Semasa view rumah. Perkara yang perlu diperiksa adalah keadaan rumah. Sekiranya ada kerosakan, dapatkan penjelasan dari pemilik rumah atau ejen hartanah, adakah kerosakan akan dibaiki oleh pemilik.

Sekiranya dinyatakan ada perabot, fully furnished atau partially furnished. perlu senarai perabot / perkakasan rumah yang disediakan. Ini bagi mengelakkan salah faham di kemudian hari.

9. Selain Dari Sewaan, Apa Lagi Yang Kami Kena Bayar Setiap Bulan?

Soalan ini antara seolah feveret yang saya dapat dari student. 

Secara asasnya ada 4 bayaran yang perlu ditanggung oleh penyewa

  1. Bayaran sewa rumah bulanan – Bayar kepada pemilik
  2. Bil elektrik bulanan – Bayar kepada TNB
  3. Bil air bulanan – Bayar kepada SAINS (bagi Negeri Sembilan)
  4. Bil Pembentungan / Septic Tank – Bayar kepada Indah Water Konsortium (IWK)

Ada 2 lagi bayaran yang mesti mendapat penjelasan dari pemilik

  1. Yuran penyelenggaraan ‘Maintenance Fee’ & ‘Sinking Fund’. Ini bagi kes rumah high rise seperti flat, apartment dan condo. Seeloknya perlu mendapat penjelasan dari pemilik, yuran ini sudah termasuk sewaan atau tidak.
  2. Yuran keselamatan ‘Security’. Sekiranya rumah high rise ia termasuk dalam maintenance fee. Bagi kes rumah landed (teres, semi d, banglo) yuran keselamatan kebiasaannya penyewa akan tanggung. Dan terbaik adalah mendapat penjelasan dari pemilik.

10. Kan Kami Dah Janji Nak View Hari Ini, Kenapa Bagi Kat Orang Lain?

Kes macam ni kerapa juga saya kena. 

Kalau rujuk semula point no 7 di atas. Saya pesan, kena view dulu baru booking. Betul

Tapi you all kena ingat, rumah adalah terhad. 1st come 1st serve. Dan booking dikira bila dah buat pembayaran ke direct owner atau ejen hartanah.

Kalau hanya sekadar janji nak view, itu belum dikira booking. Jangan salahkan ejen atau owner bila rumah tu dah tak available. 

Dalam berhati-hati untuk buat keputusan dan booking, kena juga buat tindakan dengan cepat.

11. Ok, Kami Dah Setuju. Macam Mana Nak Booking?

Untuk booking rumah, perlu membuat pembayaran iaitu bayar duit booking atau istilah ‘earnest deposit’.

Bayar kepada siapa? Bayar kepada owner (kalau direct owner) atau bayar kepada agensi hartanah (sekiranya melalui ejen hartanah). Bayar kepada agensi hartanah (company) bukan bayar ke akaun peribadi ejen hartanah.

Berapa Kena Bayar Booking? Biasanya ejen hartanah akan collect dulu duit booking sama nilai dengan 1 bulan sewa atau lebih. 

12. Maaf Encik, Kami Tak Jadi Sewa Rumah Ini. Tolong refund booking kami

Ini antara perkara yang sangat amat tekankan. Sebelum setuju untuk sewa satu-satu rumah. WAJIB semua ahli rumah bersetuju untuk pilih rumah tersebut. 

Dan booking dibayar selepas semua setuju.

“Kalau kami cancel, booking dapat semula atau tak?”

Kalau mengikut undang-undang, bila booking ‘earnest deposit’ sudah dibayar. Ia tidak akan dikembalikan ‘refund’ kepada penyewa. Kecuali atas beberapa sebab. Sekiranya penyewa sendiri batalkan, pemilik rumah berhak kenakan ‘forfeit’ atau burn duit tersebut.

Zalimnya
Makan duit tak berkat

Jangan salah faham. Bukan pemilik zalim, tapi ia dah rugi sebenarnya. Sebab apa, bila Penyewa A bayar booking, pemilik tidak boleh menerima wang booking dari Penyewa B atau Penyewa C walaupun mereka tawar harga lagi tinggi. Pemilik terpaksa tolak tawaran Penyewa B dan C.

Dan selepas 1 minggu. Tiba-tiba Penyewa beritahu tak jadi nak sewa dan tuntut wang booking dikembalikan.

Siapa yang teraniaya sekarang? 

Sebab itu, sebelum booking, pastikan semua ahli rumah setuju. Supaya tak terjadi isu di atas. Tapi harus diingat, nak dapat rumah yang elok dan sesuai ni agak susah. so kena cepat-cepat buat keputusan. 

Pastikan u all dah study dan ready nak sewa rumah, bila datang view rumah, just buat keputusan sama ada nak sewa atau tidak. 

Peringatan Penting Untuk Sewa Rumah. Jangan Sesekali

Selain panduan, saya sertakan juga peringatan agar pelajar berhati-hati dan amanah dengan sewaan, 

1. Berurusan Dengan Broker Haram

Broker haram adalah orang tengah yang urus jual sewa rumah tetapi tidak berdaftar dengan LPPEH/BOVEA. Berurusan hanya dengan ejen hartanah berdaftar atau terus dengan pemilik (sekiranya tiada ejen hartanah)

Jangan bayar duit booking atau deposit atau sewa kepada broker. Mesti bayar kepada ejen hartanah atau pemilik rumah. Sekiranya broker menipu dan larikan wang anda. Anda tiada jaminan untuk dapatkan semula wang. Sebab broker haram tidak berdaftar.

Beza antara broker haram dengan ejen hartanah berdaftar ialah ejen hartanah mempunyai nombor pendaftaran seperti REN, PEA, REA. Seperti saya REN 17585. 

2. Rosakkan Rumah Sewa

Antara nikmat terbesar sebagai pemilik rumah adalah mendapat penyewa yang baik. Istilahnya penyewa dari syurga. Jaga kebersihan rumah, struktur rumah dan sebagainya.

Pemilik rumah amat pantang sekiranya rumah terlampau kotor, suka paku dinding, jolok salur air sehingga rosak, buang sisa makanan ke dalam salur air, buang tuala ke dalam mangkuk tandas dan sebagainya.

Kerosakan-kerosakan ini sekiranya dibaiki, kosnya kadang-kadang tak dapat cover dengan deposit yang dibayar oleh penyewa.

Saya ada jumpa beberapa orang pemilik yang serik sewakan kepada pelajar. Bagi mereka tak berbaloi sebab rumah rosak.

Antara kerosakan biasa yang terjadi

  • Salur Tersumbat: Sisa makanan dan minyak dibuang ke dalam sinki, Penapis salur bilik air dibuka, rambut dan sampah terus masuk ke dalam salur
  • Peralatan elektrik: Kipas patah ‘tengkuk’, Peti sejuk, mesin basuh. Guna dengan elok dan cermat. 
  • Tombol & pintu: pintu selalu pecah sebab terlupa bawa kunci dan terpaksa pecahkan pintu

Guna dengan cermat dan bertanggungjawab.

3. Ganggu Jiran

Student USIM dipandang tinggi oleh masyarakat. 

Jaga hubungan dengan jiran dan penduduk setempat.

Jangan buat bising malam-malam.
Ada jiran yang ada anak kecil nak tidur. 
Ada jiran kerja jauh (KL, Sg Buloh, Melaka), awal pagi dah gerak, so malam nak berehat.

Bab pemakaian kena jaga. Yang lelaki jangan la keluar rumah tak pakai baju. Segan. Sebab ada ramai orang perempuan dalam kejiranan.

Sekiranya ada kawan (gf atau bf), jangan la berbual depan rumah dalam gelap/samar. Tak manis dipandang. Ajak terus pergi dating ke restoran atau kafe. Qulapong pun ada. atau kalau nak bajet di Restoran Mann Salwa. Sekarang pula dah ada restoran mamak baru Shafah Maju.

Usahakan untuk terlibat dengan program surau atau penduduk (at least sekali). Seronok jumpa pak cik mak cik, abang kakak. Banyak dapat belajar. 

Rumah Untuk Disewa Dekat USIM

Saya mohon maaf sebab tak berkesempatan untuk senaraikan rumah untuk disewa berhampiran USIM.

Saya sediakan gambar menunjukkan lokasi taman berhampiran USIM.

Taman yang paling dekat dengan USIM ialah:
1. Apartment Anggerik Court: Ada 2 blok. 1 warna merah dan 1 lagi warna hijau. warna merah ada lift manakala warna hijau tiada lift. 3 bilik, 2 bilik air. Gated guarded

2. Taman Acacia Park: Teres 2 tingkat belakang 99Speedmart, Restoran Mann Salwa. Gated Guarded. Rumah luas, selesa. 4 bilik, 3 bilik air.

Taman lain yang dekat USIM (masih boleh dikira walking distance)

3. Taman Desa Anggerik: Teres 2 tingkat sebelah USIM juga. Rumah agak lama tapi bergantung kepada unit tersebut ada sesetengah owner dah renovated. 4 bilik, 3 bilik air. 

4. Taman Desa Jati: Kebanyakan adalah teres 1 tingkat. 3 bilik, 2 bilik air. Limited unit. Ada sebahagian dalam 14 buah rumah iaitu Semi-D 1 tingkat. Ini lagi limited.

5. Jati Park: Teres 2 tingkat. Kecil berbanding Acacia Park dan Desa Anggerik. 4 bilik 3 bilik air. Bersebelahan dengan Taman Desa Jati

6. Apartment Desa Jati atau Flat Desa Jati. Ada 2 blok, Fasa 1 dan Fasa 2. Fasa 1 di bahagian luar ada kedai runcit, fasa 2 di bahagian belakang ada pagar. 3 bilik, 1 bilik air.

7. Jati Height: Ada 2 jenis rumah iaitu Teres 2 tingkat dan Townhouse 1 tingkat setengah. Taman baru, rumah pun agak baru. Teres 2 tingkat agak luas. 4 bilik 3 bilik air. Townhouse pula ada 3 bilik, 2 bilik air.

8. Pangsapuri Puncak Jati: Rumah baru bawah 5 tahun. 3 bilik, 2 bilik air. Luas dan selesa. Gated dan guarded.

rumah sewa dekat usim nilai

Sekadar ini sahaja untuk saya sampaikan. Sekiranya ada persoalan boleh tinggal komen di bawah atau apa-apa ulasan berdasarkan artikel di atas. 

Bagi pelajar USIM yang telah mendapat rumah sewa dan sedang menyewa, apa yang penting adalah menjaga hubungan dengan kejiraan. Libatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan dan surau/masjid. 

Reviews & Testimonials 

Hubungi:  Rasyadan Hussin

Seorang Ejen Hartanah Berdaftar dengan BOVEA sejak 2015. No Pendaftaran REN 17585. Memiliki Sijil Harta Tanah (INSPEN). Kini bersama agensi iRealty Putrajaya.
HP: +6013-3440625 (klik untuk call)
+6013-3440625 (klik untuk whatsapp)

Emel: hartanahwow@gmail.com

www.hartanahwow.com

2 Comments

  1. Ejen yang sangat berhemah, mudah berurusan, tidak berkira dan sangat2 membantu ketika pemilik rumah yg disewakan dalam kesulitan.

    Reply
    • rasyadan.admin

      on said  

      terima kasih Dr Aiman atas kepercayaan dan kerjasama dalam urusan hartanah

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.